
Bahasa Inggeris: Terpulang Kepada Pelajar
Date: Tuesday, January 19 @ 21:14:35 MYT Topic: Info DPMT
Al-Azhar, Tanta 19 Jan - Universiti Al-Azhar Al-Syariff, Tanta hari ini memberi pilihan kepada pelajar Malaysia dan juga pelajar asing dari negara lain samada ingin menduduki peperiksaan Bahasa Inggeris atau tidak.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi DPMT, Ustaz Dzulhilmi Bin
Roslan setelah mendapatkan kepastian daripada Doktor Tahir, Pensyarah Kuliah
Syariah semalam.
Kenyataan ini sekali lagi dapat dipastikan kesahihannya setelah
mengadakan pertemuan dua mata bersama dengan Doktor Hakim Syarqawi,
Ketua Kuliah Syariah Qanun dan Doktor Judah Abdul Ghani Basyuni, Dekan
Fakulti Kuliah Syariah kira-kira jam 12:30 tengahari hari ini di Bilik
Dekan Fakulti.
Doktor Judah mengatakan bahawa, subjek bahasa Inggeris adalah subjek
ikhtiari bagi semua pelajar bangsa asing (wafidin) pengajian Islam di
Tanta melibatkan pelajar tahun 1 hingga ke tahun 4. Manakala tahun 3 dan 4 Fakulti Usuluddin, subjek berkenaan telah pun dimansuhkan sejak tahun lepas dan ia masih dikekalkan sehingga kini.
Keputusan ini juga memberikan kelonggaran kepada mereka yang membawa subjek berkenaan samada ingin mengambil semula atau tidak.
Jelas beliau lagi, markah akan diletakkan di dalam Sijil Sarjana Muda
(B.A) masing-masing bagi mereka yang mengambil peperiksaan subjek
berkenaan. Walau bagaimanapun, ia tidak akan mempengaruhi peratus
keseluruhan.
Beliau juga menasihati semua pelajar Malaysia supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada subjek-subjek agama yang lain.
Tambah beliau lagi, notis akan ditampal di dinding kuliah bagi tujuan makluman kepada semua pelajar yang terlibat.
Desas-desus mengenai pembatalan subjek Inggeris sebagai subjek wajib
bagi semua pelajar sebelum ini mula kedengaran sejak beberapa bulan
lalu. Ia kemudiannya disahkan oleh pihak universiti dan berakhir
dengan memberi pilihan kepada pelajar pada saat-saat.
Keputusan ini dilihat hanya melibatkan
mahasiswa pengajian Islam di Tanta sahaja tanpa melibatkan cawangan-cawangan
univerisiti yang lain.
Selain daripada itu, Pengerusi turut menasihatkan semua warga Tanta agar tidak menerima sebarang khabar angin yang datang melainkan perkara tersebut dipastikan oleh pihak yang berautoriti.
Menyentuh perkara berkenaan, beliau berharap agar semua pelajar tidak menyamakan situasi yang berlaku di tempat lain dengan situasi di sini. Beliau turut memetik contoh apa yang berlaku di Qaherah berbeza dengan Tanta kerana sehingga kini kedudukan subjek berkenaan masih belum dipastikan.
|
|